Kunyit


Kunyit (Curcuma longa) merupakan sejenis rempah yang banyak digunakan dalam kari dan masakan lain Asia Selatan. Kunyit juga digunakan untuk memberi warna kuning pada masakan.Selain kegunaan kepada masakan, kunyit juga terkenal di kalangan masyarakat Melayu dan India dengan khasiatnya sebagai ubat pembersih dalaman badan dan mencantikkan kulit. Di samping itu daun serta bunga kunyit bagi sesetengah masyarakat Melayu memang digemari sebagai ulam.

Kunyit ditanam di mana-mana. Di negara-negara Timur, kunyit digunakan sebagai pengganti saffron dan warna kuning(digunakan sewaktu menggoreng ikan dan ayam) dan sebagai ubat di negara seperti China, Jepun, Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia ia ditanam dan boleh didapati tumbuh meliar di merata tempat. Kunyit (Cucurma domestica) adalah tumbuhan yang tumbuh sepanjang tahun. Menurut WHO, kunyit merupakan tumbuhan ubat-ubatan yang paling banyak digunakan di dunia.


Kandungan kimia
Kunyit merupakan jenis temu-temuan yang mengandungi senyawa kimia berkeaktifan fisiologi iaitu minyak atsiri dan mengandungi senyawa kurkumin. Akar kunyit mengandungi pati dan getah. Minyak atsiri juga memberi aroma harum dan rasa khas pada umbinya. Kunyit mengandungi curcumin(zat berwarna kuning), turmeron, zingiberen, turmerol(minyak turmerin yang menyebabkan aroma dan wangi kunyit), lemak, pati dan damar.

Umbi akar yang berumur lebih dari satu tahun dipakai sebagai ubat (umbi akar bersifat mendinginkan, membersihkan, mempengaruhi bahagian perut, merangsang, melepaskan lebihan gas di usus, menghentikan pendarahan dan mencegah pengentalan darah) selain dari itu juga digunakan sebagai bahan dalam masakan. Kunyit juga digunakan sebagai ubat anti gatal dan anti kejang serta mengurangkan pembengkakan selaput lendir mulut. Kunyit juga diminum sebagai ekstrak atau diguna sebagai salap untuk mengubati bengkak.Kunyit juga berkhasiat untuk menyembuhkan hidung yang tersumbat, caranya dengan membakar kunyit dan menghidunya.

Berdasar perubatan tradisional cina, umbi akar kunyit digunakan ubat untuk sakit dada, perut, sakit lengan dan sakit pada saat haid serta luka luka. Kunyit dianggap sangat mujarab untuk menyembuhkan haid yang tidak teratur, melancarkan aliran darah dan melarutkan gumpalan darah.




Ulasan

Catatan Popular